Akibat memakan sushi setiap hari, seorang lelaki di California terpaksa menghadapi kenyataan bahawa cacing pita sepanjang 1.6 meter telah keluar daripada tubuh badannya.
Menurut doktor di jabatan kecemasan Fresno, Kenny Banh, dia berasa ragu-ragu ketika lelaki itu datang ke hospital dan meminta rawatan berkaitan dengan cacing. Namun, apabila lelaki itu membuka beg plastik, terdapat parasit ‘gergasi’ yang dibalut dengan kertas tisu tandas di dalamnya.
“Nampaknya cacing itu masih hidup semasa dia meletakkannya di dalam beg tetapi mati semasa dalam perjalanan,” kata doktor Banh.
Pesakit yang identitinya masih belum didedahkan itu memberitahu doktor semasa dia mengalami cirit birit berdarah, dia melihat ke bawah dan menyangka ususnya tergantung di belakangnya. Apabila dia menarik ‘benda’ yang disangka usus itu, ia semakin keluar daripada tubuhnya dan ketika itulah dia menyedari ‘benda’ itu bergerak-gerak dan ia pasti seekor cacing.
Kata doktor Banh lagi, cacing yang keluar itu lebih baik daripada ‘jika anda menyangka anda akan mati akibat isi perut yang keluar daripada bahagian bawah tubuh anda’.
Kejadian ini berlaku pada Ogos tahun lepas tetapi menjadi tajuk perbincangan utama pada minggu lepas selepas doktor Banh bercakap mengenainya di audio siar perubatan yang bertajuk ‘Ini tidak akan menyakitkan’.
Doktor Banh mendedahkan panjang cacing itu ialah 1.6 meter dan meletakkannya di atas kertas tisu di lantai ruang trauma di Pusat Perubatan Komuniti Serantau di Fresno.
Pesakit itu telah diberikan sejenis pil yang tiada bezanya diberikan kepada haiwan peliharaan. Kata doktor Banh lagi, “selama beberapa bulan pesakit itu berasa tidak selesa. Dia menyangka ada sesuatu bergerak-gerak di dalam isi perutnya dan dia menyangka itu hanyalah angin.”
Pesakit itu berkata, hampir setiap hari dia makan ikan mentah terutamanya salmon sashimi.
Pada Januari lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat memberi amaran tentang peningkatan risiko larva parasit yang boleh tumbuh menjadi cacing pita yang terdapat di dalam ikan salmon di Lautan Pasifik, termasuk salmon liar Alaska yang popular di Amerika Syarikat dan di tempat lain.
Memasak akan membunuh larva kecil. Namun larva masih boleh hidup di dalam salmon mentah yang tidak dimasak dan kemudiannya akan terus hidup di dalam saluran pencernaan manusia.
Kata doktor Banh lagi, ramai orang fikir cacing pita akan makan makanan yang terdapat di dalam usus. Sebenarnya, cacing pita menghisap darah ‘seperti lintah’.
“Ia tidak makan pizza anda, tetapi ia makan anda,” kata doktor Banh.
Oleh itu, kepada penggemar sushi, beringatlah ketika makan. Jangan terlalu ikutkan selera makan tanpa memikirkan akibatnya pada masa akan datang.
Sumber: NST